Definisi sahabat itu sendiri berbeza bagi setiap individu. Bagi jawapan saya pula, kerana syurga Allah itu luas, jadi saya ingin punya sahabat yang ramai untuk saya bawa mereka bersama-sama menuju jalan ke syurga, dengan izin Allah.
“Sahabat karib pada hari kiamat kelak, akan saling bermusuhan kecuali mereka yang bertakwa.” (Surah Az-zukhruf: 67)
Sahabat yang bertaqwa adalah mereka yang saling mengajak kepada kebaikan dengan melakukan perkara-perkara baik mengikut syariat Islam yang telah Allah tetapkan.
Dalam memilih sahabat, hendaklah kita menjadi seperti minyak wangi, yang aromanya turut dirasai bagi sesiapa sahaja yang bersama-sama dengan kita. Yakni mereka turut bertempias melakukan kebaikan.
Seandainya kita punya teman atau sahabat yang kurang ilmu agamanya, kurang patuh syariatnya, jangan sesekali kita terpengaruh atau mengikuti jejak langkah mereka, malah kita seharusnya menunjukkan contoh terbaik supaya sahabat kita yang terkesan dengan kita.
Islam sangat menggalakkan penganutnya supaya mengenali saudaranya yang lain demi membina persaudaraan yang kukuh dan didasarkan hanya kerana Allah semata.
Dengan mengetepikan perbezaan pangkat, keturunan, taraf hidup, seorang muslim bebas untuk memilih sesiapa sahaja yang mereka ingin bersahabat agar mereka dapat merasai ketenangan dan kebahagiaan ikatan ukhuwah islamiah yang dibina.
Comments
Post a Comment